Kalau Tak Berduit, Gajah Tiga Ekor Sekupang pun Tak Terbeli ..


Kata orang-orang tua, kalau dah tak berduit, gajah tiga ekor sekupang pun tak terbeli... Ini membawa maksud jika ketiadaan wang, tiada apa yang boleh dilakukan. Ramai juga yang bersetuju dengan pendapat sebegini. Soalnya, jika mempunyai wang yang cukup, kita akan berbelanja tanpa berfikir panjang sehingga merugikan diri sendiri pula. Contoh kiasan ini boleh mengajak kita sama berfikir. Bayangkan ketika anda berjalan-jalan di pasar misalnya, anda ditawarkan tiga ekor gajah dengan harga sekupang (sepuluh Sen). Adakah anda akan membelinya? Kebanyakan orang yang telah ditanyakan soalan ini menjawab "ya". Bila ditanyakan mengapa mereka mengambil keputusan membeli tiga ekor gajah itu, mereka menjawab "kerana murah". Adakah kita perlu membeli sesuatu semata-mata kerana ditawarkan harga yang murah? Apakah pula kesannya? Cuba fikirkan ... setelah membeli tiga ekor gajah itu, bagaimana anda akan membawanya pulang ? Berapa kos pengangkutannya ? Kemudian, anda juga perlu memberinya makan. Berapa pula kos untuk memberi gajah-gajah itu makan ? Anda juga perlu menyediakan tempat untuk gajah-gajah itu. Berapa pula kosnya? Begitulah akibatnya bila kita membeli sesuatu semata-mata kerana harganya murah... Oleh itu, apabila terdapat tawaran jualan dengan harga murah, fikirkanlah keperluan membelinya serta kesan serta akibat daripadanya !