Kisah Mat Jenin

Dewasa ini kisah Mat Jenin tidak lagi kedengaran didendangkan. "Mat Jenin" kini seolah-olah hanya menjadi istilah yang menggambarkan sikap negatif orang yang suka berangan-angan. Istilah "Mat Jenin" sering disebut namun kebanyakan generasi muda hari ini tidak mengetahui malah tidak pernah pun mendengar kisah Mat Jenin yang dahulunya menjadi sastera rakyat yang diwarisi turun temurun.

Mat Jenin adalah sebuah kisah teladan mengenai seorang pemuda kampung yang berwawasan dan kreatif. Beliau sering memikirkan bagaimana mengubah nasibnya yang ketika itu serba kekurangan dan menyara hidup hanya sebagai pemanjat kelapa. Setiap hari Mat Jenin tidak mengabaikan tugasnya sebagai pemanjat kelapa. Dia memanjat pokok kelapa dan menurunkan buah kelapa milik penduduk kampung. Dia akan mendapat upah sebahagian dari kelapa yang diturunkannya.

Suatu hari, Mat Jenin memanjat sebatang pokok kelapa yang berbuah lebat. Sambil memetik buah-buah kelapa itu, Mat Jenin pun memikirkan cara untuk mengubah nasib dirinya. Mat Jenin mula menyusun strategi untuk memajukan ekonomi diri. Mat Jenin merancang untuk menjual hasil bahagian kelapa yang diperolehinya untuk mendapatkan modal.

Dengan modal itu Mat Jenin akan membeli anak-anak ayam untuk dipelihara. Setelah anak-anak ayamnya besar, dia akan menjual ayam-ayamnya. Hasilnya akan digunakan untuk membeli sepasang induk kambing. Dia akan membela kambing pula. Setelah Kambing-kambingnya membiak banyak, dia akan menjual kambing-kambingnya. Hasil jualan kambing pula akan dibelinya beberapa ekor lembu. Dia akan memelihara dan menternak lembu pula. Setelah lembunya membiak banyak, dia akan menjual lembu-lembunya. Ini akan menjadikannya seorang yang kaya-raya. Seterusnya Mat Jenin mula merasa asyik membayangkan dirinya sudah senang-lenang dan kaya-raya. Mat Jenin mula berangan mengahwini seorang puteri raja. Oleh kerana terlalu asyik berangankan si puteri raja, Mat Jenin terlupa yang dia sedang berada di atas pokok kelapa. Akibat kelekaannya, tiba-tiba dia meggelongsur jatuh dari pokok kelapa itu ...

Begitulah kisahnya Mat Jenin. Kisah ini dianggap lucu oleh segolongan besar generasi kita manakala sebahagian yang lain menganggapnya sebagai teladan supaya jangan kuat berangan. Dari satu sudut pandang yang lain, Mat Jenin sebenarnya mempunyai suatu rancangan yang bernas untuk mengubah kehidupannya. Cuma kelekaannya menyebabkan dia terjatuh dari pokok kelapa dan tidak sempat menjayakan rancangannya.

Bagi anda yang memandang Mat Jenin sebagai model kegagalan, cuba pertimbangkan semula diri anda dengan bandingan Mat Jenin. Sekurang-kurangnya Mat Jenin mula berangan setelah dia memanjat pokok kelapa. Cubalah anda cari sebatang pokok kelapa dan memanjatnya. Jika anda tidak mampu melakukannya, anda sepatutnya malu kerana anda lebih teruk dari Mat Jenin sendiri. Atau renungkanlah, adakah anda sudah mula merancang kehidupan anda ? Sudahkah anda menemukan titik di mana anda akan bermula ? Jika anda sendiri belum memulakan langkah untuk mengubah nasib diri, anda sama sekali tidak layak untuk memandang remeh pada seseorang seperti Mat Jenin. Kalau anda sendiri belum mempunyai rancangan terhadap masa depan anda,
itu adalah lebih teruk dari Mat Jenin ! Jika anda sendiri tidak langsung mempunyai angan-angan untuk mengubah kehidupan anda, tertawakanlah diri anda terlebih dulu sebelum mentertawakan orang lain ! Kalau anda seorang penganggur yang masih disara ibu bapa, malulah pada orang seperti Mat Jenin kerana sekurang-kurangya Mat Jenin pun mempunyai pekerjaan walau hanya sebagai pemanjat kelapa ...


Untuk gagal ada dua jalan tetapi untuk berjaya hanya ada satu jalan...

Jalan untuk gagal - (1) Fikir tapi tak buat (2) Buat tapi tak fikir !

Jalan untuk berjaya - 1 (satu sahaja) Fikir dan buat !