27 OKTOBER 2009 - Saya mendapat undangan daripada JKKK Kampung Pasir Pandak serta AJK Surau Al Ehsaniah Kampung Pasir Pandak pada 17 Oktober 2009, jam 2.30 petang untuk memberi penerangan tentang tatacara dan permasalahan penubuhan serta pengurusan khairat kematian. Saya bertolak awal sekitar jam 2.00 petang ke Dewan Orang Ramai Kg. Pasir Pandak, bersebelahan surau Al Ehsaniah kerana biasanya saya akan berkesempatan bertemu mesra dengan penduduk di sana sementara majlis bermula. Setibanya saya di sana, kelihatan sahabat saya, saudara Mohammad Sha’ari atau lebih dikenali sebagai Mat Jerman (Pengerusi PEKENAL merangkap Setiausaha JKKK Kg.Pasir Pandak) sedang mengupas tebu. Sambil menghulur tangan menyambut salam.

“Ape nak buat, dah tak bermodal, bedal aje le ape yang ade.. ade tebu belakang rumah ni ha di mesin buat minum kita mesyuarat ! Inile kerje rakyat akar umbi, deme dah tentu berumbi, kite le yang berakornye …” sapa beliau sambil tertawa.

Gotong royong mengupas tebu

Kupas tebu dulu ...

Yob Nordin... mesin tebu gaya pro ...

Tuuuu dia .... hasil tebu yang lumayan !

Sebaik sahaja saya duduk mencapai pisau untuk sama membantu saudara Mohammad Sha’ari mengupas tebu, seorang demi seorang penduduk kampung tiba. Mereka terus sahaja mencapai pisau dan bersama-sama mengupas tebu. Beberapa orang rakan yang lain pula tiba, mencapai tebu yang sudah dikupas lalu membilasnya dengan air bersih. Seterusnya beberapa rakan yang lain pula besama-sama memesin tebu-tebu itu, menadah dan menapis airnya lalu diagih-agihkan ke dalam jag plastik menjadi hidangan minum perjumpaan pada petang itu.

Saya berasa kagum dengan kerjasama spontan yang ditunjukkan oleh masyarakat di sini. Di sebalik pelbagai kekurangan kehidupan di desa ini, saya melihat terselit kelebihan yang besar yang jika digembeling ke arah yang positif, betapa semangat bekerjasama sebegini mampu mencorak pertambahan kualiti dalam sesuatu komuniti.

Antara penduduk yang hadir .

Turut hadir Tuan Imam dan Pengerusi surau Al-Ehsaniah ...

Penghulu Mukim Lekir, Sdr.Mohd. Khamis Bin Kassim turut menyumbangkan pandangan...

Majlis bermula tepat jam 2.30 seperti yang dirancang. Turut Hadir dalam majlis tersebut ialah Penghulu Lekir yang baru, saudara Mohd. Khamis Bin Kassim. Kelihatannya Penghulu baru ini begitu mudah mesra, rajin turun padang serta disenangi penduduk.

Hasil perjumpaan hari ini, selepas taklimat, penerangan serta perbincangan, hadirin sebulat suara bersetuju untuk bekerja sama menubuh dan menguruskan Khairat Kematian Al Ehsaniah, Kampung Pasir Pandak. Suatu mesyuarat penajaan rasmi dijangka akan diadakan dalam tempoh 2 minggu.